Isnin, 18 April 2016

Sekiranya kita bijak dalam menilai sesuatu barangan terbuang serta kreatif mengolahnya menjadi sesuatu barangan lain yang berlainan fungsi, pasti hasilnya cukup menarik dan eksklusif! 

Tidak semua dari kita mampu menghasilkan produk-produk kitar semula, tapi janganlah semua benda yang sudah lama, rosak dan bahan terbuang itu di anggap sampah dan di buang begitu sahaja. Ingatlah, setiap satu darinya terhasil dari sumber alam semulajadi yang terhad. Gunakanlah ia semula dengan kreatif dengan kreativiti kitar semula atau juallah ia di tempat kitar semula agar ianya dapat di proses menjadi bahan asas semula.... Anda untung, kehidupan terjaga dan alam pun terpelihara...Insyaallah.


Kitar Semula Sisa Buangan


SLOGAN `Fikir Dulu Sebelum Buang' begitu sinonim di kalangan masyarakat Malaysia. Slogan yang dikaitkan dengan Kempen Kitar Semula yang dilancarkan pada 1993 bertujuan untuk meningkatkan pemahaman orang awam mengenai kepentingan budaya kitar semula dalam kehidupan seharian. Ketika kempen kitar semula di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pada 11 November 2001 tahun lalu, kerajaan telah mengisytiharkan 11 November pada setiap tahun sebagai Hari Kitar Semula Kebangsaan. Ia membuktikan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan rakyatnya bakal mendapat persekitaran selamat dan selesa pada masa depan.

Justeru, bagi memupuk kesedaran itu kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2juta bagi mengiklankan kempen kitar semula supaya dihayati rakyat Negara ini. Selain itu, pembabitan semua sekolah di seluruh negara turut memantapkan lagi kempen kitar semula dalam usaha memupuk budaya kitar semula di peringkat awal. Misalnya, sebanyak 30 sekolah rendah di seluruh negara turut dipilih menyertai Program Kitar Semula Kanak-Kanak dalam usaha memupuk budaya kitar semula dan mencintai alam sekitar di kalangan generasi muda. Melalui program itu kanak-kanak akan didedahkan pelbagai aktiviti kitar semula yang menarik dan menghiburkan.


Program anjuran bersama kerajaan negeri dan 67 pihak berkuasa tempatan (PBT) dilaksanakan secara berterusan, termasuk mengadakan pameran bergerak di sekolah terbabit bermula bulan Jun lalu. Apa yang diharap program ini membangkitkan kesedaran kanak-kanak terhadap kepentingan kitar semula dan menjadi duta kecil di rumah bagi menegur ahli keluarga lain yang tidak peka terhadap kitar semula. Namun keberkesanan kempen kitar semula semakin goyah kerana masih ramai yang malas memperuntukkan masa mengasingkan bahan yang boleh dikitar semula sebelum membuang sampah.


Kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan, institusi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu menjayakan kitar semula tetapi sayangnya sambutan orang ramai terhadapnya tidak menggalakkan. Apa yang menjadi persoalan, sampai bila masyarakat harus bersikap sebegini? Agak sukar untuk mencari jawapan yang tepat, namun masih belum terlambat untuk masyarakat hari ini berganding bahu menjayakan kempen kitar semula demi kebaikan bersama.


Antara cara kitar semula yang disaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah dengan mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula daripada sampah yang lain. Pengutip sampah akan lakukan selebihnya. Selain itu, orang awam diminta memasukkan bahan kitar ke dalam tong kitar semula berwarna yang disediakan di kompleks perniagaan, stesen minyak, bangunan pejabat dan balai raya. Kemudahan ini disediakan untuk menampung bahan kitar semula dalam jumlah yang kecil hingga sederhana. Bagi bahan kitar semula yang lebih banyak dan lebih besar perlu dihantar ke pusat kutipan kitar semula. Ada juga beberapa pusat kutipan swasta yang membeli bahan kitar semula sebagai usaha menyokong kempen ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan