Sekiranya
kita bijak dalam menilai sesuatu barangan terbuang serta kreatif mengolahnya
menjadi sesuatu barangan lain yang berlainan fungsi, pasti hasilnya cukup
menarik dan eksklusif!
Tidak
semua dari kita mampu menghasilkan produk-produk kitar semula, tapi
janganlah semua benda yang sudah lama, rosak dan bahan terbuang itu di anggap
sampah dan di buang begitu sahaja. Ingatlah, setiap satu darinya terhasil dari
sumber alam semulajadi yang terhad. Gunakanlah ia semula dengan kreatif dengan kreativiti
kitar semula atau juallah ia di tempat kitar semula agar ianya
dapat di proses menjadi bahan asas semula.... Anda untung, kehidupan terjaga
dan alam pun terpelihara...Insyaallah.
.jpg)
SLOGAN `Fikir Dulu Sebelum Buang' begitu sinonim di kalangan masyarakat Malaysia. Slogan yang dikaitkan dengan
Kempen Kitar Semula yang dilancarkan pada 1993 bertujuan untuk
meningkatkan pemahaman orang awam mengenai kepentingan budaya kitar semula dalam kehidupan
seharian. Ketika kempen kitar semula di bawah Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, pada 11 November 2001 tahun lalu, kerajaan telah
mengisytiharkan 11 November pada setiap tahun sebagai Hari Kitar Semula
Kebangsaan. Ia membuktikan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan
rakyatnya bakal mendapat persekitaran selamat dan selesa pada masa depan.
Justeru, bagi memupuk kesedaran itu kerajaan telah memperuntukkan
sebanyak RM2juta bagi mengiklankan kempen kitar semula supaya dihayati
rakyat Negara ini. Selain itu, pembabitan semua sekolah di seluruh
negara turut memantapkan lagi kempen kitar semula dalam usaha memupuk
budaya kitar semula di peringkat awal. Misalnya, sebanyak 30
sekolah rendah di seluruh negara turut dipilih menyertai Program Kitar
Semula Kanak-Kanak dalam usaha memupuk budaya kitar semula dan mencintai
alam sekitar di kalangan generasi muda. Melalui program itu kanak-kanak
akan didedahkan pelbagai aktiviti kitar semula yang menarik dan
menghiburkan.
Program anjuran bersama kerajaan negeri dan 67 pihak berkuasa
tempatan (PBT) dilaksanakan secara berterusan, termasuk mengadakan
pameran bergerak di sekolah terbabit bermula bulan Jun lalu. Apa
yang diharap program ini membangkitkan kesedaran kanak-kanak terhadap
kepentingan kitar semula dan menjadi duta kecil di rumah bagi menegur
ahli keluarga lain yang tidak peka terhadap kitar semula. Namun keberkesanan
kempen kitar semula semakin goyah kerana masih ramai yang malas
memperuntukkan masa mengasingkan bahan yang boleh dikitar semula sebelum
membuang sampah.
Kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan, institusi swasta
dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu menjayakan kitar
semula tetapi sayangnya sambutan orang ramai terhadapnya tidak
menggalakkan. Apa yang menjadi persoalan, sampai bila masyarakat harus
bersikap sebegini? Agak sukar untuk mencari jawapan yang tepat, namun
masih belum terlambat untuk masyarakat hari ini berganding bahu
menjayakan kempen kitar semula demi kebaikan bersama.
Antara cara kitar semula yang disaran Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan adalah dengan mengasingkan sampah yang boleh dikitar
semula daripada sampah yang lain. Pengutip sampah akan lakukan
selebihnya. Selain itu, orang awam diminta memasukkan bahan kitar ke
dalam tong kitar semula berwarna yang disediakan di kompleks perniagaan,
stesen minyak, bangunan pejabat dan balai raya. Kemudahan ini disediakan
untuk menampung bahan kitar semula dalam jumlah yang kecil hingga
sederhana. Bagi bahan kitar semula yang lebih banyak dan lebih besar
perlu dihantar ke pusat kutipan kitar semula. Ada juga beberapa pusat
kutipan swasta yang membeli bahan kitar semula sebagai usaha menyokong kempen ini.